CAAM

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung sementara juruterbang-juruterbang Pakistan yang bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan.

Tindakan itu susulan pendedahan Menteri Penerbangan Pakistan, Ghulam Sarwar Khan bahawa sebilangan besar juruterbang negara itu memiliki lesen palsu atau meragukan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo, dalam kenyataan berkata, keputusan itu diambil demi keselamatan penerbangan awam negara selepas melakukan penilaian terhadap semua juruterbang warga asing yang bekerja di Malaysia.

Menurutnya, CAAM sedang melakukan semua usaha untuk mengesahkan ketulenan lesen juruterbang Pakistan termasuk menyemak semula rekod pemegang lesen juruterbang Pakistan dengan kerjasama PCAA.

Katanya, juruterbang Pakistan yang memegang lesen diiktiraf dan disahkan oleh PCAA boleh kembali bekerja dengan serta-merta.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (PCAA) mendedahkan seramai 262 daripada 860 juruterbang aktif di Pakistan tidak menduduki peperiksaan juruterbang dan daripada jumlah itu, 40 peratus juruterbang berkenaan memiliki lesen palsu.

Pakistan berkata, negara itu mempunyai 860 orang juruterbang, yang mana 107 orang bekerja dengan syarikat penerbangan asing.

Setakat ini, Malaysia Airlines Berhad, Malindo Air, AirAsia Group Berhad berkata, mereka tidak mengambil juruterbang warga Pakistan.

CAAM berkata, kurang daripada 20 orang juruterbang Pakistan digunakan di Malaysia di sekolah-sekolah penerbangan, kelab-kelab penerbangan dan organisasi latihan. – MalaysiaGazette