Caster Semenya

DURBAN – Atlet wanita dari Afrika Selatan, Caster Semenya gagal mengenepikan peraturan baharu Testosteron yang dilaksanakan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang melarangnya bertanding dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa.

Atlet wanita itu mengemukakan rayuannya di Mahkamah Timbang Sukan (CAS) untuk mencabar keputusan IAAF, sekaligus membolehkannya bertanding sebagai atlet wanita.

Pemenang pingat emas berganda dan juara dunia empat kali acara 800 meter itu dikritik selepas status jantinannya dipersoalkan pelbagai pihak.

Semenya menjalani ujian gender 10 tahun lalu namun tidak didedahkan kepada umum, walaupun laporan media mendakwa hasil keputusan menunjukkan Semenya memiliki sifat lelaki dan wanita termasuk tahap testosteron yang agak tinggi daripada paras normal.

Persekutuan Olahraga Antarabangsa mencadangkan peraturan untuk mengehadkan tahap testosteron yang dibenarkan dalam tubuh seseorang atlet wanita dalam acara 400 meter.

Hormon, gen dan reproduksi organ manusia akan menampilkan gabungan ciri-ciri lelaki dan wanita.

Semenya menyifatkan peraturan baharu itu adalah tidak adil dan dia mahu berlari secara semula jadi sebagaimana dia dilahirkan.

Kini dia dan beberapa atlet yang mengalami situasi sama mesti melalui proses perubatan iaitu sama ada mengambil perubatan untuk menyertai acara 400 meter atau menukar acara. – Agensi