Kerajaan belum mengumumkan pelaksanaan PKPD di kawasan Chow Kit dan Selayang. foto AFIQ RAZALI, 18 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum mengisytiharkan dua kawasan di Chow Kit dan Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sepenuhnya.

Sebaliknya, aktiviti keluar masuk diperketatkan dan Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan Covid-19 ke atas penduduk di situ.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selagi kerajaan tidak mengumumkannya, bermakna dua kawasan yang telah viral di media sosial sejak semalam itu, konon telah lockdown tidak boleh disahkan PKPD.

“Saya hendak tegaskan, Selayang dan Chow Kit belum ada (diisytiharkan) KPKD. Cuma yang berlakunya, sesetengah tempat kita perketatkan dari segi pentadbirannya. Tapi belum PKPD. Kita kawal keluar masuk dengan lebih ketat di situ. Kita juga buat saringan kepada penduduk,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas berita dua kawasan itu sudah lockdown dan kebimbangan mengenai keadaan orang ramai yang berada di situ dan masih bebas bergerak di luar kawasan berkenaan.

Ditanya rungutan majikan terpaksa menanggung kos tinggi untuk membiayai ujian saringan Covid-19 ke atas pekerjanya yang melibatkan warga asing, Ismail Sabri memberitahu, mereka boleh memilih, sama ada mahu syarikat ditutup kerana ada pekerjanya positif Covid-19 atau ‘kerugian’ kerana menanggung kos saringan.

Tegasnya, jika pekerja warga asing itu disahkan positif Covid-19, kerajaan tidak ada pilihan melainkan terpaksa mengarahkan kilang atau syarikat berkenaan ditutup dari beroperasi.

“Kita keluarkan arahan baharu ini (saringan) kerana bimbang akan wujud kluster baharu dalam kalangan pekerja warga asing sebab tiga hari lepas berlaku peningkatan agak tinggi positif Covid-19 dari kluster ini.

“Untuk mencegahnya, kita wajibkan setiap pekerja asing ini menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kosnya ditanggung oleh majikan. Mereka kena faham, apa yang kita buat ini untuk kepentingan mereka juga.

“Jika berlaku ditempat mereka, kita akan tutup kilang atau syarikat itu. Mereka akan tanggung kerugian lebih besar dari merungut kena tanggung kos pekerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette