Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis tidak memberi jaminan perlindungan kepada Clare Rewcastle-Brown sekiranya beliau tampil di negara ini untuk memberi keterangan kepada polis terhadap dakwaan dan tuduhan tidak berasas yang disiarkannya selama ini.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Editor Sarawak Report itu akan ditahan dan perlu bertanggungjawab terhadap segala dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap organisasi polis dan individu lain.

“Saya tidak akan menjamin perlindungan untuk dia (Clare), jika dia nak tampil akan dicekup juga dan dia perlulah membuktikan apa jua dakwaan menerusi penulisannya yang dilemparkan dalam SarawakReport.

“Kamu (Clare) sengaja datang dan menuduh bukan-bukan seperti pukul curi dan ghaib tangan di belakang, Kalau betul ada bukti sila tampil ke hadapan dan kemukakan dokumen sokongan yang ada sekiranya terdapat kebenaran, tapi polis tak jamin perlindungan.

“Dia (Clare) akan terus bising dan membuat dakwaan tidak berasas secara berterusan nanti,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 11 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM, di ibu negara.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai jaminan polis kepada Clare yang pernah diminta polis mengemukakan dokumen sokongan ke atas segala dakwaan yang dilakukan wanita itu dalam Sarawak Report.

Tambah beliau, polis juga telah menerima laporan mengenai dakwaan bayaran RM9.5 juta sebagai yuran guaman kepada Peguam Kanan kerajaan, Tan Sri Shafie Abdullah semasa perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim 2015 seperti yang dilaporkan SarawakReport sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid menafikan dakwaan Sarawak Report bahawa beliau berhubung dengan suspek utama kes rasuah di Melaka, K.Gopinathan.

Walaupun beliau mengakui suspek adalah kenalan ahli keluarganya, tetapi apa jua kegiatan haram atau jenayah yang dilakukan individu itu diambil mengikutan tindakan undang-undang sewajarnya.

Katanya, polis akan memberi sepenuh kerjasama kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam kes ini jika Gopinathan melakukan apa jua kegiatan haram, dia perlu menghadapi kesannya. Kami sedia beri kerjasama kepada siasatan SPRM.

“Saya atau pegawai atasan tidak akan bersekongkol dengan mereka dalam apajuga aktiviti yang melanggar undang-undang, jika dia buat perlu menjawab sendiri.

“Lagipun, nombor telefon saya sememangnya diketahui semua, kalau sekadar fitnah berdasarkan bil telefon saya, entahlah, saya pun mana tahu siapa yang menelefon saya,” tegasnya.

Khalid berkata, Sarawak Report sengaja mencemarkan namanya dan organiasi polis dengan mengaitkan beliau dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Dulu, dia pernah mendakwa saya boros perbelanjaan kerajaan kononnya pergi bercuti sedangkan saya yang tahu tujuan sebenar iaitu mengiringi Tengku Mahkota Pahang untuk urusan rasmi.

“Kemudian dia tuduh lagi bahawa saya memberi kontrak kerajaan kepada ahli kelyarga saya yang mana itu tidak betul juga. Tetapi saya tak akan rasa kecewa atau lemah dengan apa yang dia tuduh kerana saya tahu semua tuduhan itu adalah tidak benar,” tambah beliau. – MalaysiaGazette