Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab bercakap kepada media pada Persidangan Siber Keselamatan 2019 di Hotel Continental, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Polis mendapatkan bantuan pihak Cybersecurity Malaysia untuk membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman intim membabitkan seorang menteri Kabinet.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cybersecurity Malaysia, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dalam forensik digital dan tugas yang perlu dilakukan terpulang kepada kemahuan pihak berkuasa.

“Kita di Cybersecurity Malaysia ada pakar forensik digital.

“Ada (forensik) audio, video, multimedia, komputer, jadi terpulanglah kepada apa yang pihak berkuasa mahu,” katanya ketika ditemui pemberita di persidangan pertahanan siber yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, syarikat seliaan kementerian Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu enggan mengulas lanjut sama ada mereka diminta menganalisis video itu atau mengesan penyebarnya.

Minggu lalu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan mengejutkan apabila menyatakan dia terlibat secara langsung dalam hubungan intim dengan Azmin Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin menafikan perkara itu, dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.

Laporan polis turut dibuat oleh Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan keterangan kepada pihak berkuasa berhubung penyebaran video seks luar tabii yang didakwa dirinya itu juga sudaj dilakukan semalam.

Isu penyebaran video itu semakin panas apabila individu yang dirakamkan dalam video tersebut membuat pengakuan bersumpah. – MalaysiaGazette