Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berucap pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – “Jangan cuba mengintai Malaysia, kerana kita tidak akan mengizinkan seinci pun Malaysia ini diceroboh oleh sesiapa termasuk militan Daesh dan IS”,

Itu tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sambl menambah pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan tertentu yang cuba dibolosi kumpulan militan itu dan ATM konsisten menghalang ancaman itu daripada menjejaskan keselamatan negara.

“Saya bangga kerana satu dunia tengah perhatikan kerjasama trilateral dari tiga negara (Malaysia, Indonesia, Filipina) yang berperang dengan Daesh dan IS habis-habisan, hari ini.

“Kita sudah kenal pasti kawasan dan fokusnya. Jadi tiga negara ini akan berdepan dan kita sampaikan mesej sejelas-jelasnya kepada Daesh dan IS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bergambar kenangan bersama sebahagian warga Angkatan Tentera Malaysia pada Majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Januari lalu berkata, kerjasama trilateral itu dimulakan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Perkara itu sebelum itu dipanjangkan kepada Malaysia ketika Duterte bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lepas.

Kerjasama tiga hala itu bertujuan memburu dan mencegah kehadiran pengganas atau bakal pengganas yang dilatih atau mereka yang bersimpati dengan kegiatan itu.

Hishamuddin juga berkata, pada masa ini, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) masing-masing ditugaskan sebagai peronda maritim dan udara.

Katanya lagi, selepas ini Tentera Darat pula akan dilantik menjadi peronda di daratan bagi mencegah dan mengesan aktiviti Daesh dan IS di rantau ini.

“Kita nak panjangkan triliteral ini kepada tentera darat pula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.