Majlis pembukaan Sukan Asia ke-15 di Doha pada Disember 2006.

RIYADH – Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) mengesahkan Arab Saudi dan Qatar akan bersaing bagi mendapatkan hak penganjuran Sukan Asia 2030 selepas menerima bidaan daripada kedua-dua negara berkenaan.

OCA dalam satu kenyataan berkata, Doha iaitu ibu negara Qatar dan Riyadh ibu negara Arab Saudi sudah menghantar bidaan rasmi bagi menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-21

“Dokumen bidaan itu yang dihantar Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan daripada kedua-dua negara turut disertakan surat sokongan daripada bandar dan kerajaan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Arab Saudi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha pada 2017 selepas mendakwa negara berkenaan menyokong kegiatan pengganas.

Bagaimanapun, Doha menafikan dakwaan tersebut.

Doha pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 2006 manakala Arab Saudi tidak pernah menganjurkan temasya sukan di bawah kelolaan OCA.

OCA membuka permohonan bidaan bagi menganjurkan Sukan Asia 2030 kepada semua 45 ahli gabungannya bermula, Rabu lalu.

“OCA gembira menerima dua tawaran bidaan yang kuat bagi menganjurkan Sukan Asia 2030,” kata Presiden OCA, Ahmad al-Sabah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Bandar yang akan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Asia 2030 akan diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan OCA di China pada 29 Disember ini. – MalaysiaGazette