KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mula melaksanakan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) dari 15 April lalu sehingga 30 September 2022.

Survei ini melibatkan sebanyak 110,000 pertubuhan perniagaan seluruh Malaysia.

AES 2022 ini dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan temu ramah bersemuka dan penghantaran borang soal selidik melalui pos & e-mel.

Selari dengan keupayaan perniagaan mengadaptasi pendigitalan dan teknologi, DOSM memperkenalkan ‘e-AES’ iaitu satu kaedah pengisian borang soal selidik secara self-response di mana responden boleh mengisi maklumat secara dalam talian.

Kaedah ini dapat mengurangkan interaksi bersemuka antara pegawai DOSM dengan responden yang seterusnya dapat membendung penularan Covid-19.

Tujuan utama pelaksanaan AES 2022 adalah untuk mengumpul maklumat tentang pertumbuhan, sumbangan, komposisi & taburan output, nilai ditambah, guna tenaga dan pembolehubah lain bagi lima sektor ekonomi utama.

Sektor-sektor berkenaan ialah pertanian, pembuatan, perlombongan & pengkuarian, pembinaan dan perkhidmatan.

Maklumat-maklumat utama lain yang dikumpul ialah kesan pandemik Covid-19 terhadap pertubuhan perniagaan, ekonomi digital termasuk e-dagang, kemudahan pembiayaan, inovasi dan penyelidikan & pembangunan, perlindungan alam sekitar dan persediaan industri ke arah teknologi dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Data yang dikumpul ini akan dianalisis bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dan pengubalan dasar berasaskan fakta.

Dapatan survei ini juga boleh dijadikan input oleh kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), terutamanya berkaitan Tema 1 yang memberi tumpuan untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan sektor ekonomi utama dan melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi.

Selain itu, ia juga akan digunakan untuk menstrukturkan semula ekonomi Malaysia sesuai dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) terutama bagi industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

DOSM menggesa agar semua responden yang terpilih dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai DOSM dalam menjayakan survei ini.

Maklumat yang dikumpul oleh DOSM adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) di mana maklumat yang diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau mana-mana institusi di luar jabatan ini. – MalaysiaGazette