Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media selepas membuat pantauan terhadap pemandu e-hailing yang masih tidak mempunyai lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd menafikan dakwaan bahawa pihaknya memohon aplikasi perkhidmatan e-hailing untuk kereta persendirian dan memperolehi sebanyak 10,000 kenderaan untuk perkhidmatan itu.

Pengasas dan Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail sebaliknya menegaskan, syarikat itu hanya memohon aplikasi perkhidmatan e-hailing hanya untuk perkhidmatan teksi sedia ada.

“Saya hanya mohon e-hailing hanya untuk teksi. Ya betul saya dapat kouta 10,000 untuk teksi.

“Sayalah syarikat pertama yang mendapat e-hailing tapi khas untuk teksi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

MGF12072019_PC E-HAIILING06
Antara pemandu e-hailing yang dipercayai masih tidak mempunyai lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2019.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dikritik hebat apabila membuat pusingan U dalam pelaksanaan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) dalam kalangan pemandu e-panggilan.

Menurut Anthony, penguatkuasaan lesen PSV bagaimanapun dilanjutkan sehingga tiga bulan bermula semalam.

Dalam tempoh itu, semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan dibenarkan meneruskan operasi seperti biasa.

Shamsubahrin juga menegaskan, isu aplikasi e-hailing untuk teksi tidak sepatutnya ditimbul kerana Anthony sendiri telah memungkiri janji untuk menguatkuasakan pemilikan PSV selewat-lewatnya, 12 Julai atau semalam.

“Isu yang saya ketengahkan dan tak puas hati ialah e-hailing kereta persendirian, dia sudah janji 12 Julai, kenapa dia (Anthony) nak burukkan saya pula.

“Kenapa dia nak burukkan saya, dia yang salah, bukan saya yang salah. Jangan hentam saya balik, ini kesalahan dia, ini dia punya kesalahan, dia kena bertanggungjawab,” tegasnya.

Beliau turut membidas sikap bermuka-muka menteri DAP itu yang menyindir beliau apabila dikecam kerana gagal menunaikan janjinya kepada semua pemandu teksi di negara ini.

“Cara dia cakap itu seolah-olah menyindir saya, saya tiada kereta peribadi, yang saya ketengahkan kereta persendirian seperti Grab, kita dah bagi 2 tahun, setahun secara haram, sudah 3 tahun, apa lagi 3 bulan.

“Apa yang saya cakap kepada media adalah berkenaan janji-janji dia di dalam media kepada umum selama ini.

“Kenapa dia cakap macam ini, dia takut pemandu teksi serbu rumah dia, pejabat dia tanggunglah, dia yang janji, dia yang beri harapan, dia tanggunglah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette