Lim Guan Eng

PUTRAJAYA- Kerajaan menafikan program e-Tunai Rakyat adalah cara untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, beliau tidak melihat bagaimana program tersebut boleh mendedahkan lebih banyak maklumat peribadi rakyat kerana kerajaan boleh mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh menerusi kad pengenalan.

Tegasnya, kerajaan juga akan memastikan maklumat-maklumat peribadi yang dikongsikan menerusi program e-Tunai Rakyat adalah sulit dan terus berada dalam kawalan kerajaan.

“Jika hendak mendapat maklumat peribadi, kita boleh dapat melalui kad pengenalan kerana ia lebih menyeluruh.

“Kalau ada manfaat pun (daripada maklumat peribadi yang dikongsi ketika mendaftar untuk e-Tunai Rakyat) ia hanyalah dari segi trend kepenggunaan tetapi saya rasa ia tidak berguna untuk kerajaan.

“Ini kerana kerajaan tidak terlibat dalam perniagaan. Kami bukan peniaga, pedagang atau peruncit.

“Jadi jangan terbawa-bawa dengan dakyah pihak tertentu yang iri hati dengan sambutan terhadap e-dompet ini.

“Ambillah manfaat daripada program ini kerana ia adalah hadiah Pakatan Harapan untuk anda, kami beri wang percuma sebanyak RM30 untuk dibelanjakan,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemetaraian perjanjian tambahan MRT 2 di antara MMC Corp dan Gamuda di sini hari ini.

Program yang dilancarkan sejak tiga hari lalu mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat yang mana sebahagian merasa gembira kerana diberikan wang percuma sebanyak RM30 manakala sebahagian lagi bimbang maklumat peribadi mereka didedahkan dan dikongsi dengan pihak ketiga.

Ini kerana permohonan e-Tunai Rakyat itu perlu melalui proses verifikasi yang melibatkan nombor kad pengenalan dan terdapat aplikasi e-dompet yang meminta pemohon untuk menghantar swafoto masing-masing.

Malah terma dan syarat yang tertera semasa memohon juga menyatakan keizinan pemohon untuk berkongsi data peribadi masing-masing. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Eloklah lebih berhati2 dengan data peribadi masing2. Takut2 nanti ada yang salahguna beri kepada MACAU SCAM! Manalah tahu mungkin agen mereka ramai disana!

    Disebabkan 30 ringgit semua melayang, menyesal tak sudah!

    • Demi 30 ringgit usalahlah percaya sangat dengan benda2 ni, jangan riskkan hidup anda.

      Tengok apa sudah jadi dengan Najib? Siapa orang2 disekeliling Najib, dari consultant sehingga bankers? Kes Najib sebijik macam Macau Scam! Mereka sangat bijak, bijak mencatur dadu, memanupulasi data2 peribadi Najib, malah satu dunia boleh ditipu, apalah sangat kalau nak TIPU Cik Tipah atau Cik Kali?

      Hati2!

Comments are closed.