Selepas membantu golongan yang memerlukan di kawasan pendalaman, menghulurkan bantuan kepada haiwan kelaparan di Zoo Negara kini Ebit Lew sanggup membantu mangsa banjir di Perak pula.

KUALA LUMPUR – Selepas membantu golongan yang memerlukan di kawasan pendalaman, menghulurkan bantuan kepada haiwan kelaparan di Zoo Negara kini Ebit Lew sanggup membantu mangsa banjir di Perak pula.

Menerusi Facebooknya, pendakwah bebas itu semalam sempat ke ke Kampung Changkat Lobak, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman.

Selain menghulurkan sumbangan wang kepada 64 keluarga, Ebit turut memberikan tilam kepada mangsa banjir.

“Sampai di sana dibawa bersama Ketua Pesuruhjaya Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab. Ini banjir ketiga tahun 2020 buat mereka.

“Tiga kali dipindahkan ke pusat banjir. Tadi beri sedikit tazkirah. Sedihnya tengok ada yang sebak dan menangis. Berat ujian mereka.

“Ada barang rosak kerana tiada ahli keluarga lelaki nak angkat berat. Ibu tunggal anak kecil. Ada yang warga emas dan sayu juga tengok anak kecil berlari-lari,” katanya.

Untuk rekod, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan setakat jam 9.30 malam tadi, jumlah keseluruhan mangsa banjir di kedua-dua daerah itu ialah 289 orang.-MalaysiaGazette