Filem Misteri Dilaila

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Elizabeth Tan kini terjun dalam muncul pula di layar perak apabila filem ‘Misteri Dilaila’ yang diterajuinya yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam.

Lebih menarik lagi apabila lagu nyanyiannya Hidup Semula turut diangkat menjadi runut bunyi filem itu.

“Setelah muncul dengan lagu berentak R&B menerusi single ‘Police Entry’ dan ‘Semua Sudah’ pada tahun lalu, kali ini lagu berentak balada pula menjadi taruhan penyanyi yang mesra disapa Lizzy ini,” kata satu kenyataan Warner Music semalam.

Lagu Hidup Semula merupakan hasil nukilan komposer tersohor Audi Mok bersama Shazee Ishak yang bertindak sebagai penulis lirik.

Bertepatan dengan genre misteri thriller yang dibawakan oleh filem ‘Misteri Dilaila’, runut bunyi filem ini turut disuntik elemen seram.

Penghayatan berbeza Lizzy dalam nyanyiannya turut menambah jiwa kepada lagu ini menjadikan “Hidup Semula” sebuah lagu yang berhantu dan mampu menimbulkan rasa seram dan hiba kepada pendengar.

‘Misteri Dilaila’ merupakan sebuah filem terbitan bersama Skop Productions dan Astro Shaw.

Filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof ini menampilkan Lizzy sendiri sebagai salah satu daripada teraju utamanya.

Filem yang turut dibintangi pelakon tersohor tanahair seperti Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Noor dan Namron.

“Hidup Semula” diterbitkan oleh Warner Music Malaysia dan boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 Februari 2019. – MalaysiaGazette