RTES Endurance Ride di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu baru-baru ini yang disertai lebih 100 penunggang dari seluruh negara, menampilkan kategori pertandingan bagi jarak 40 kilometer dan 80 kilometer.

NAMPAK agak amat mudah namun sebenarnya pelbagai rahsia tersimpan di sebalik sukan berkuda yang juga merupakan antara aktiviti digalakkan dalam agama Islam.

Sebelum mampu menunggang kuda, banyak kemahiran perlu diketahui dan dipelajari. Bukan sahaja bagi penunggang, malah pengetahuan mengetahui kuda yang hendak ditunggangi itu.

Antaranya cara menunggang yang betul, mengendalikan pergerakan kuda dan banyak lagi. Juga seseorang itu perlu mengetahui kemampuan serta kemampuan kuda yang hendak ditunggangi.

Kuda seperti juga haiwan-haiwan lain perlu dikendalikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Adakalanya haiwan berkenaan juga mempunyai mood tertentu.

Juga adakalanya kuda juga mempunyai perasaan takut jika haiwan berkenaan tidak menyakini kemampuan si penunggang tadi.

Untuk itu, seseorang penunggang harus memastikan bahawa dia menguasai sepenuhnya dan dapat mengawal kuda yang ditungganginya.

Dengan kata mudah, apabila kuda tersebut yakin kemampuan penunggang, maka ia akan mengikut arahan si penunggang.

RTES Endurance Ride di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu baru-baru ini yang disertai lebih 100 penunggang dari seluruh negara, menampilkan kategori pertandingan bagi jarak 40 kilometer dan 80 kilometer.

Selain penyertaan dari pertubuhan Islam, juga dari pasukan beruniform.

I-Riders yang diasaskan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga seorang penceramah bertauliah turut menyertai endurance berkenaan dengan pasukan beliau menampilkan kuda yang diberi nama, Farrago, Greygo dan Barakah.

Ustaz Muhamad sendiri menunggang kuda bernama Farrago dari baka Arab.

Sepanjang endurance berkenaan, penunggang perlu mengendalikan kuda masing-masing dengan cermat kerana haiwan berkenaan juga adakalanya sensitif kepada faktor-faktor tertentu.

Ini termasuk bentuk muka bumi, cuaca, cara seseorang itu menunggang dan sebagainya.

Cara menunggang yang tidak betul juga boleh menyebabkan kuda berkenaan cepat penat, sakit tulang bahagian belakang, juga boleh mencederakannya seperti kaki terhencut dan banyak lagi.

Dalam endurance berkenaan, setiap lima kilometer, kuda-kuda itu akan berhenti seketika untuk minum, diberi makan serta badannya disirami air untuk menyejukan badannya serta memastikan suhu badan dikawal.

Selain itu, penunggang juga perlu memastikan perjalanan yang dilalui tidak akan menyebabkan kuda berkenaan cedera seperti terlanggar lopak.

Apa yang penting ialah penunggang harus menunjukkan serta menyakinkan bahawa kuda ditunggangi akan mengikut arahannya.

Ustaz Muhamad ketika ditemui memberitahu, endurance itu juga mengajar seseorang penunggang untuk sentiasa bersabar dan ia bukan pertandingan yang menentukan ‘siapa yang sampai dulu ke garisan penamat bahawa orang itu adalah pemenang’.

Di akhir pertandingan, pengadil akan memeriksa setiap kuda termasuk dari segi degupan jantung, keadaan fizikal terutama kaki tidak cedera, tulang bahagian belakang tidak cedera, selain menepati masa yang ditetapkan.

Jika semua pemeriksaan itu berjaya dilepasi, seseorang penunggang yang telah menyertai endurance berkenaan diberi kelayakan untuk menyertai endurance dengan jarak yang lebih jauh.

Kejayaan melepasi endurance 40 kilometer sebanyak dua kali akan membolehkan seseorang penunggang menyertai endurance 80 kilometer. Begitu juga seterusnya dari 80 kilometer barulah layak menyertai jarak yang lebih jauh lagi.

Muhamad berkata, setiap penunggang juga harus tahu cara menunggang yang betul dan ini termasuk pergerakan badan yang mengikut lenggang-lenggok pergerakan kuda.

“Cara menunggang yang tidak betul boleh menyebabkan seseorang itu cepat penat dan kemungkinan badan akan menjadi sakit.

“Sukan berkuda ini nampak mudah, namun antara kebaikannya ia adalah sukan untuk senaman badan.

“Bayangkan sepanjang 40 atau 80 kilometer itu, badan kita sentiasa bergerak dan bersenam tanpa henti. Badan kita bergerak mengikut pergerakan kuda,” katanya.

Di samping itu, Ustaz Muhamad berkata, penyertaan I-Riders dalam endurance berkenaan antara lain bagi memperluaskan lagi sukan berkenaan dan beliau seterusnya mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak dan individu dalam I-Riders.- MalaysiaGazette

AMIR SARIFUDIN merupakan bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia