Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa keputusan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) tiada dalam hukum Islam adalah tidak berasas.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebaliknya berkata, DNAA merupakan prosedur yang wujud di dalam mana-mana sistem kehakiman dan undang-undang termasuk Syariah.

Beliau dalam masa yang sama menempelak Hadi kerana tidak menasihati bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa untuk tidak menerima keputusan yang sama terhadap 16 tuduhan pecah amanah pada tahun 2020.

“Jika benar DNAA tiada dalam hukum Islam, kenapa beliau tidak menasihati bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Nasharudin Mat Isa untuk tidak menerima perintah DNAA pada 4 November 2020 ke atas 16 pertuduhan pecah amanah. Mungkinkah ketika itu, kitab Ustaz Hadi dalam isu ini masih belum wujud?,” soalnya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian merujuk kata-kata Abdul Hadi di Dewan Rakyat semalam yang mengkritik keputusan pendakwa raya yang menarik balik pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Faiz menegaskan Seksyen 103(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 mempunyai unsur keputusan DNAA, yang digubal ketika Hadi menjadi Menteri Besar di negeri berkenaan.

Tambah beliau, DNAA membolehkan pendakwa raya menarik balik pertuduhan apabila dipertimbangkan antara lain ketidakcukupan bukti atau perlu siasatan lanjut.

Katanya, konteks berkenaan sama seperti satu riwayat di mana Rasulullah SAW mengarahkan seorang wanita yang mengaku berzina untuk pulang ke rumah kerana tiada bukti.

“Bukankah dalam Islam, membebaskan 10 orang bersalah lebih baik daripada menghukum seorang yang tidak bersalah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette