Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Lokaliti Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai esok hingga 16 Februari ini.

Pelaksanaan itu berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan sehingga memaksa Majlis Keselamatan Negara (MKN) meminta kerajaan menguatkuasakan PKPD.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain lokaliti itu, kerajaan juga mengenakan PKPD di lokaliti Felda Bersia, Hulu Perak, juga selama dua minggu mulai esok.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD di lokaliti Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak mulai 4 Februari sehingga 10 Februari ini, manakala PKPD bagi lokaliti Blok C dan Blok Sekolah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor tamat tengah malam ini.

“Walaupun seluruh negara diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, tetapi mana-mana lokaliti yang direkodkan mempunyai kes tertinggi positif Covid-19, akan dilaksanakan PKPD.

“Menerusi pelaksanaan PKPD ini, maka tidak akan ada pergerakan keluar masuk dari lokaliti ini, sekali gus memudahkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian saringan,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19, di sini, hari ini.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, semalam polis telah menahan seramai 680 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP, dengan 630 daripada mereka dikenakan kompaun, 49 individu direman, manakala seorang dijamin.

Kesalahan dilakukan, katanya, tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal, rentas negeri tanpa alasan munasabah dan sebagainya.

Manakala Op Benteng pula kata beliau, pasukan keselamatan telah menahan 16 pendatang asing tanpa izin dan merampas enam kenderaan darat.

“Pasukan keselamatan juga mengesan 103 bot atau kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan dan satu pengusiran melibatkan tiga pendatang asing,” katanya. – MalaysiaGazette