KUALA LUMPUR – Kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baharu disaran merumuskan pelan induk tindakan filem nasional sebagai dasar yang dirujuk dan diaturcarakan demi menjayakan agenda industri perfileman negara, kata Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J. Murat.

Beliau berkata pelan tindakan ini penting bagi menentukan pemegang taruh seperti penerbit, pelabur, karyawan, artis, tenaga kerja profesional, pembekal khidmat teknologi, pemamir pelbagai platform malah institusi pendidikan mengetahui ke arah mana industri berkembang.

“Walaupun ada dasar perfileman digubal pada masa lalu, tetapi kerana tiadanya struktur dan pelan tindakan sebagai hala tuju, program dan aktiviti yang dijalankan tidak terhala ke arah mencapai matlamat yang diingini sehingga berlaku ketirisan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahadi berkata adalah penting dalam kalangan pembuat dasar, pengurusan dan eksekutif di Finas mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kepakaran dalam bidang berkaitan.

“Sebaiknya, sebahagian daripada mereka adalah pasukan pakar agar dapat mengisi tuntutan profesionalisme sebuah agensi kandungan kreatif seperti Finas. Pengurusan Finas bukan sahaja mengenai pengurusan tentang kewangan atau kebajikan untuk mereka yang terlibat dalam industri tetapi lebih penting daripada itu,” katanya.-BERNAMA