Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media pada Program Sesi Dialog bersama Food Panda di kediamannya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Pihak pengurusan Foodpanda digesa mengkaji semula pelaksanaan skim pembayaran gaji yang berkuatkuasa 30 September lepas kerana pelaksanaannya akan mengurangkan pendapatan penghantarnya.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, syarikat pengendali penghantar makanan itu perlu segera menyelesaikan perkara itu kerana kemelut tersebut mengganggu sistem ekonomi Gig yang baru bertapak di negara ini.

“Sekarang ini tanpa makluman awal, terus skim gaji mereka disemak dengan begitu cepat dan akhirnya kita dengar sendiri bahawa skim ini boleh menurunkan dalam lingkungan 50 peratus daripada gaji bulanan mereka.

“Cuba bayangkan gaji anda dalam tempoh tiga hari diturunkan 50 peratus. Apa perasaan kita. Mesti marah dan mogok tapi ada pula keluar arahan untuk tindakan diambil keatas mereka dan hilang pekerjaan. Adakah ini keadilan yang kita mahukan?,” katanya ketiak ditemui media selepas sesi dialog dengan penghantar makanan atau rider di kediamannya, sebentar tadi.

Terdahulu, ratusan penghantar Foodpanda membanjiri kediaman Syed Saddiq selepas beliau secara terbuka mengundang mereka bagi sesi dialog membincangkan masalah yang dihadapi susulan tunjuk perasaan yang dilakukan ekoran skim pembayaran baru.

Sesi tersebut mengambil masa selama sejam setengah dengan puluhan penghantar makanan bangun meminta Syed Saddiq membela nasib mereka.

Menjawab mengenai perkara itu, Syed Saddiq berkata, kerajaan akan mencari kaedah yang sesuai selain bekerjasama dengan Menteri Sumber Manusia bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Kita perlu ada perundangan yang menyeluruh untuk menjaga ekonomi Gig ini.

“Pada masa yang sama kita ingin pastikan mana pihak yang boleh monopoli kerana jika dimonopoli peluang yang sangat besar ini akhirnya siapa pekerja ini pergi.

“Apa alternatif yang sedia ada. Saya percaya kita akan dapat selesaikan masalah ini dan kita ucapkan terima kasih kepada rider kerana ini atas usaha mereka sendiri,” katanya lagi.

Skim baru itu didakwa akan memansuhkan bayaran mengikut jam tetapi menaikkan upah bagi setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.

Sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam dengan upah antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan berdasarkan prestasi. – MalaysiaGazette