Presiden Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPURPermohonan maaf tidak memadai tapi kena saman Rafizi Ramli.
Itu cadangan Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnaian Mahdar kepada  Florence Goh yang didakwa Naib Presiden PKR itu sebagai pelobi bagi pihak kerajaan Malaysia.
Menurutnya, beliau akan meminta Florence berbuat demikian bagi memberikan pengajaran setimpal dengan perbuatan jijik Rafizi.
“Saya sendiri secara peribadi akan pergi berjumpa dengan Florence bagi meminta beliau menyaman Rafizi dan bersedia menyediakan panel peguam sekiranya perlu untuk membantu Florenc,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Rafizi Ramli mengakui beliau tersilap selepas seorang wanita menafikan dirinya pengarah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang pelobi Washington bagi pihak kerajaan Malaysia.
Wanita bernama Florence Goh itu memiliki sebuah syarikat bernama CRT Insights Technologies Sdn Bhd, yang tampil menafikan beliau ada kena mengena dengan Godfrey Group Ltd.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa mempunyai dokumen bagi menyokong tuduhan tersebut di mana Florence membayar RM1.07 juta kepada seorang pelobi Washington yang diupah oleh Pejabat Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Zulkarnain juga berkata, tindakan Rafizi itu jelas menunjukkan budaya politik fitnah yang amat memalukan sebagai wakil rakyat.
“Sewajarnya Rafizi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR kerana kerosakan telah dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.