Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (tengah) bersama Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (dua kanan) melihat isi kandungan risalah manifesto Parti Gerakan pada sidang media mengenai manifesto parti tersebut sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Operasi Parti Gerakan, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Sebanyak tiga kategori digariskan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam manifesto parti berkenaan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ketiga-tiga kategori itu ialah meningkatkan ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai, menjaga kebajikan dan keselamatan sosial serta menangani kenaikan kos sara hidup.

Katanya, di bawah kategori pertama, ia dibahagikan pula kepada lima segmen iaitu membantu meningkatkan peluang pekerjaan, memberikan keutamaan kepada industri kelapa sawit, memberi fokus kepada industri pertanian, pembangunan industri pelancongan dan pembangunan industri perikanan dan akuakultur.

“Bagi kategori kedua pula kita akan memberikan tumpuan terhadap isu penjagaan warga emas dan bagi kategori ketiga kita akan cuba menangani masalah yang dihadapi oleh golongan M40 dan B40 menerusi pembangunan rumah mampu milik,” katanya ketika melancarkan manifesto parti itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Opearasi Gerakan, di Pekan Nanas di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, calon Gerakan bagi PRK berkenaan, Wendy Subramaniam.

Sementara itu, Dominic berkata, Gerakan akan berusaha untuk membawa suara rakyat di Tanjung Piai ke Parlimen sekiranya pengundi-pengundi memberi kemenangan pada PRK kali ini.

Ujarnya, beliau tahu rakyat khususnya di Tanjung Piai tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH termasuk BN dan Gerakan merupakan parti alternatif buat mereka. – MalaysiaGazette