Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique disahkan dijangkiti positif Covid-19.

Menurut satu kenyataan daripada kementerian itu, Halimah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan, semalam.

“Susulan itu, Datuk Halimah Mohamed Sadique akan menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor Bahru,” kata kementerian itu hari ini.

Halimah adalah menteri keempat dijangkiti Covid-19 tahun ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Malah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut disahkan positif Covid-19.

Hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz turut disahkan positif Covid-19. – MalaysiaGazette