hamas
Logo Hamas

GAZA – Hamas membantah rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk membentuk konsensus antarabangsa bagi mentadbir Gaza selepas perang yang dilancarkan rejim Zionis Israel berakhir.

Memetik laporan Palestinian Information Center, pertubuhan pejuang kebebasan Palestin itu menyifatkan rancangan AS itu sebagai biadab dan patut dicela.

Hamas menegaskan, tiada sesiapa pun yang boleh memaksa rakyat Palestin yang merdeka menerima mandat tersebut.

“Kami katakan dengan jelas bahawa rancangan terbaharu AS untuk Gaza itu adalah untuk memenuhi kehendak negara tersebut dan rejim Zionis Israel.

“Rancangan itu ditolak sama sekali dan akan ditentang sekeras-kerasnya oleh rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Hamas, hanya rakyat Palestin yang berhak membuat keputusan berkaitan nasib, masa depan dan kepentingan mereka.

Pertubuhan tersebut turut menyifatkan rancangan AS itu sebagai ‘angan-angan semata-mata’ dan rakyat Palestin akan beroleh kemenangan dalam perjuangan menentang kuasa fasis yang menjajah mereka.

“Rakyat Palestin akan menunjukkan kesungguhan mereka dan berjuang untuk mendapatkan semula hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dengan Jerusalem sebagai ibu negara,” katanya. – Agensi