Hollywood – Penerbit filem ternama, Harvey Weistein akhirnya dipecat dari The Weinstein Company berkuatkuasa serta-merta susulan maklumat terbaharu yang mendedahkan pelakuan tidak sopannya, umum ahli lembaga pengarah syarikat pada Ahad.

Weinstein sebelum ini mengambil cuti sukarela ekoran tuduhan melakukan gangguan seksual sejak berdekad lalu seperti yang didedahkan oleh New York Times.

Ahli lembaga pengarah meluluskan permohonan Weistein pada Jumaat bagaimanapun mereka mengeluarkan penerbit tersebut dari syarikat berkenaan pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga pengarah, “maklumat baharu” mengenai perangai Weinstein telah mula diketahui sejak beberapa hari lalu.

Peguam Weinstein bagaimanapun tidak memberikan komen segera.

Artikel dalam The New York Times melaporkan tuduhan yang dibuat oleh bintang filem Ashley Judd dan bekas pekerja Weinstein di The Weinstein Co dan Miramax.

Laporan tersebut memberikan pelbagai impak kepada industri perfileman.

Bagaimanapun, pada Jumaat, The Huffington Post menerbitkan sebuah akaun grafik daripada wartawan televisyen tempatan, Lauren Siven.

Beliau memberitahu wartawan Yashar Ali bahawa 10 tahun lalu, Weinstein telah menahannya di lorong dalam sebuah restoran dan apabila wanita tersebut menolak cubaan Weinstein menciumnya, lelaki tersebut melakukan onani tanpa keizinannya.

Dalam tweetnya, Siven berkata “Awak berkata ini cerita 10 tahun lepas.

“Ia hanya mampu didedahkan sekarang kerana wanita yang mempunyai nama besar lebih berani dari saya.” – MalaysiaGazette