Hassan Abdul Karim

Artikel ini ditulis pembaca MalaysiaGazette

Pak Hassan (Hassan Karim) seorang teman lama sewaktu saya di Tanjung Piai berkempen, banyak memberi panduan kepada saya ketika itu. Ada beberapa kali kami bertemu dan nasihat yang diberi, amat berguna.

Membaca ulasan beliau di sebuah laman portal tentang Tun Mahathir berkaitan Proklamasi Orang Melayu, bagi saya ia suatu komentar yang adil dan perlu dilayan juga dengan adil.

Namun pastinya ada ruang untuk saya mencelah agar padangan itu benar-benar teruji dan boleh diterima.

Membaca politik Tun M tidaklah sama dengan membaca politik Anwar Ibrahim, saya tahu Pak Hassan sememangnya menyanjungi Anwar dan pada masa yang sama beliau cuba bersikap rasional mengatasi pemujaannya kepada Anwar.

Hari ini, reformasi yang kami (Pakatan Rakyat-Pakatan Harapan) bina sejak 1998 telah dikuasai oleh satu fenomena kelesuan hujah.

Hujah tolak nepotisme – kini ternyata gagal atas pelbagai lantikan politik, di sini hujah tak ambil gaji, diguna pakai.

Hujah tolak UMNO – hari ini mereka bekerjasama atas hujah kerajaan perpaduan sedangkan tanpa sokongan UMNO, PH masih boleh menubuhkan kerajaan.

Hujah lawan rasuah – kini ternyata gagal kerana sasarannya hanya kepada sekelompok dari kumpulan musuh politik malah pada masa yang sama mereka terpaksa melantik Timbalan Perdana Menteri yang sedang bergelut dengan kes mahkamahnya. Di sini hujah ‘terpaksa’ diguna pakai.

Hujah Mahathir korinisme dan nepotisme – hingga hari ini gagal dibuktikan, hujahnya hanya ucapan retorik sejak 1998.

Hujah perkauman – juga gagal apabila kenyataan P.Ramasamy yang bertentangan dengan perlembagaan (isu nisbah kakitangan awam Melayu) tidak diambil apa-apa tindakan. Malah mendakwa Tun sebagai perkauman, yang peliknya, isi proklamasi itu sendiri belum lagi dibaca dan dibahaskan, di sini hujah ‘perkauman’ diguna pakai sewenang-wenangnya.

Pada masa yang sama, kelesuan hujah ini cuba ditutup dengan cara mengupah wartawan siber atau askar siber untuk mengherdik, memaki hamun dan menghina mereka yang mengkritik Anwar dan kerajaannya di media-media sosial.

Bijak pandai dan cendekiawan di dalam PKR dilihat tidak mampu mengurus kritikan ini dan tugas itu dikontrakkan kepada macai upahan walhal, buku dan wacana yang mereka adakan cukup hebat.

Dengan modus operandi kumpulan Anwar pada hari ini, jelas sekali mereka lebih teruk daripada UMNO dan lebih jahil daripada Pas yang dianggap exstremis itu.

Kumpulan Anwar dan PKR adalah ‘democracy hooligan’ atau pengacau demokrasi yang akan terus mengacau, menghina dan memaki siapa jua yang mengkritik kepimpinan mereka.

Dan sedihnya, Pak Hassan pemimpin yang dilihat lebih rasional tidak mampu berbuat apa-apa, hanya memekakkan telinga melihat kerosakkan dan kegagalan reformasi tersembam jatuh dengan hinanya.

Mahdzir Ibrahim
Timbalan Ketua Penerangan GTA

 

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette