Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Tindakan menyiasat pemilik akaun laman sosial dikenali ‘Asri Janggut’ di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh menghakis kredibiliti pihak berkuasa jika tidak tidak diurus dengan baik.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya menumpukan kepada isu atau perkara yang dibangkitkan, bukan menyiasat pemberi maklumat.

Beliau merujuk penularan video yang dimuatnaik di Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ mengenai pendedahan premis judi yang beroperasi secara berleluasa.

Malah katanya, ia juga boleh mengurangkan keyakinan orang ramai untuk berkongsi maklumat kepada PDRM serta menghukum pemberi maklumat, sedangkan penjenayah sebenar masih bebas dengan kegiatan haram.

“Segala perkongsian yang dibuat oleh ‘Asri Janggut’ sekiranya tidak dipersetujui maka boleh dijawab secara terbuka.

“Malah, pendedahan yang dibuat beliau hanyalah melalui Facebook sedangkan pihak berkuasa mempunyai akses kepada media massa,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, pengakuan pengadu bahawa aduan mengenai premis judi haram dan rokok seludup pernah dibuat kepada PDRM tetapi maklumat pemberi maklumat bocor perlu disiasat secara menyeluruh.

Katanya, tindakan beliau berkongsi maklumat secara online dilihat jalan terakhir untuk mengetengahkan masalah untuk tindakan daripada pihak berwajib.

Daripada menghukum beliau, pihak PDRM sewajarnya memberi
perlindungan kepada pengadu terutamanya beliau mengetahui bahawa pendedahan ini akan menggugat mereka yang terlibat dalam kegiatan haram, ujarnya.

Selain itu tegasnya, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga perlu memudah cara bagi mencari jalan agar pengadu mendapatkan lesen dan tapak perniagaan yang sesuai.

“Pada masa yang sama, saya ulangi gesaan sebelum ini agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu dikaji semula dan ditambah baik termasuklah ruang perkongsian maklumat yang lebih terbuka dan telus serta melindungi pemberi maklumat daripada tindakan undang-undang akibat pendedahan maklumat yang diberikan.

“Pihak Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga bersedia menawarkan khidmat guaman kepada pengadu sekiranya berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Kelmain, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut dengan mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Dalam video yang tular itu, perakamnya mempertikaikan mengapa gerai-gerai yang dibuka di atas petak pakir pada sebelah pagi tidak dikenakan tindakan sedangkan mereka yang berniaga pada petang hari di atas bahu jalan diambil tindakan.

Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa peniaga Acheh yang berniaga pada sebelah pagi juga tidak dikenakan tindakan.

Perakam video turut menunjukkan beberapa lokasi premis ‘mesin kuda’ dan mempersoalkan mengapa aduan yang dilakukannya diketahui pemilik kedai mesin kuda. – MalaysiaGazette