Beberapa buah kenderaan milik penduduk yang musnah akibat dilanda banjir dua hari lepas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Bagai dilanggar garuda!

Itu yang boleh digambarkan jika melihat keadaan di sepanjang jalan Hulu Langat menuju ke Sungai Lui di sini ekoran banjir yang melanda kawasan ini pada Sabtu lalu.

Puluhan kenderaan milik mangsa-mangsa banjir dilihat tersadai dan mengalami kerosakan teruk dibiarkan begitu sahaja di tepi-tepi jalan.

Malah ada antaranya kereta yang baru dibeli.

Salah satu yang ditemui, sebuah kereta buatan nasional dalam keadaan cermin belakang yang pecah, but yang kemek menunjukkan betapa derasnya arus air banjir yang melanda sehingga kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk.

Puluhan kenderaan milik mangsa-mangsa banjir dilihat tersadai dan mengalami kerosakan teruk dibiarkan begitu sahaja di tepi-tepi jalan di Hulu Langat.

Keadaan lebih kurang sama dengan kenderaan buatan antarabangsa bersebelahan kereta itu.

Sisinya yang kemek teruk dan cermin hadapan yang pecah sepenuhnya cukup menggambarkan situasi sebenar banjir yang melanda kawasan itu yang dikatakan lebih teruk daripada banjir yang berlaku di Kelantan beberapa tahun lepas.

Banjir turut mengakibatkan jalan utama ke Sungai Lui rosak teruk.

Ia mengakibatkan jalan utama ditutup dan kenderaan berat tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan berkenaan dan hanya petugas keselamatan dan kenderaan bermotosikal sahaja dibenarkan masuk.

Malah ada penduduk tempatan sendiri mengambil keputusan untuk membuat sekatan jalan raya di kawasan ini untuk tujuan itu.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dikeluarkan semalam, seramai 2,165 mangsa telah dibawa keluar anggota-anggota penyelamat sejak Sabtu lalu. – MalaysiaGazette