KUALA LUMPUR – Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) di Kota Kinabalu, Sabah ketika ini masih lagi beroperasi walaupun 40 jururawat wad itu menjalani kuarantin.

Cuma jumlah pesakit di wad tersebut dikurangkan daripada 8 kepada 6 pesakit, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas Covid-19.

Beliau mengulas seorang jururawat di ICU berkenaan dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) itu menambah, saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 petugas perubatan (pegawai perubatan dan jururawat) di Hospital Queen Elizabeth II semalam.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19 manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR.

“Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah,” ujarnya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia masih lagi menjalankan siasatan berhubung jangkitan tersebut.

Tambahnya, majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri Sabah setakat ini adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Oleh itu, semua petugas kesihatan dan perubatan dinasihatkan untuk memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian semasa menjalankan tugas dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan,” ujarnya.

Katanya, secara keseluruhannya, sejak permulaan wabak Covid-19 sehingga semalam, seramai 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan KKM dari pelbagai kategori skim perkhidmatan telah dijangkiti.

Khusus untuk negeri Sabah pula, dalam tempoh yang sama, 198 orang kakitangan KKM telah dijangkiti Covid-19 dengan bulan Oktober sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang, berbanding September iaitu 66 orang. -MalaysiaGazette

40 jururawat ICU KK dikuarantin, keadaan masih terkawal