KUALA LUMPUR – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan Tabung Kewangan Arab (AMF) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperbaharui kerjasama untuk tempoh tiga tahun.

IFSB berkata, MoU itu ditandatangani pada 23 April untuk meneruskan kerjasama mempromosi program dan inisiatif industri perkhidmatan kewangan Islam, khususnya di wilayah Arab.

Lanjutan kerjasama itu menandakan komitmen kedua-dua institusi untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan kewangan Islam dengan mengambil kira potensi besar kemajuan industri perkhidmatan kewangan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah perjanjian itu, bidang kerjasama utama di antara IFSB dan AMF antara lain ialah menyediakan kepakaran misi bantuan teknikal bersama kepada negara anggota bagi memudahkan  pembangunan kewangan Islam dan memperkukuh keupayaan institusi kawal selia dan penyeliaan untuk memantau institusi perkhidmatan kewangan Islam dengan lebih baik.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan capaian kepada negara anggota untuk mewujudkan kesedaran menerusi organisasi bersama dan menjadi hos persidangan dan seminar antarabangsa untuk kepentingan bersama; menjalankan penyelidikan bersama dan dialog dasar bagi menyokong panduan mengenai kestabilan, daya tahan dan penyeliaan makro berhemat sektor kewangan Islam dan meningkatkan kemasukan kewangan dalam kalangan negara anggota.

MoU pertama yang dimeterai untuk tempoh 2016-2019 adalah kerjasama awal IFSB dan AMF untuk sinergi pembangunan kewangan Islam dalam kalangan negara anggota.

Pemeteraian MoU itu juga adalah sejajar dengan mandat IFSB untuk menggalakkan kestabilan dan daya tahan industri kewangan Islam. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ifsb.org. – Bernama