Sebahagian daripada 11 mayat pelombong arang batu yang dibunuh Kumpulan IS. foto Agensi
ISLAMABAD – Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan 11 orang pelombong arang batu di wilayah barat Pakistan di Balochistan.
Mereka diculik oleh kumpulan militan itu dan dibunuh dekat lombong arang batu pada hari Sabtu.
Mangsa adalah anggota komuniti Syiah Hazara, yang berulang kali menjadi sasaran pelampau.
Perdana Menteri, Imran Khan mengecam serangan itu sebagai “tindakan keganasan yang tidak berperikemanusiaan”.
Serangan itu berlaku pada lewat malam Sabtu, berhampiran bandar kecil Mach, tidak jauh dari ibu kota Quetta dan dekat dengan sempadan Afghanistan.
Balochistan adalah wilayah terbesar dan termiskin di negara ini.
Kumpulan militan itu menculik pelombong dari rumah kongsi dan meletakkan mereka di kawasan pergunungan berhampiran.
Enam daripada pelombong telah mati ketika ditemui dan lima lagi cedera parah dan meninggal dalam perjalanan ke hospital, menurut laporan akhbar Dawn.
Satu rakaman video mengerikan dari tempat kejadian menunjukkan mayat mangsa di atas lantai sebuah pondok kecil – dengan tangan mereka diikat.
Pihak berkuasa berjanji untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette