Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bersatu Bahagian Gombak hari ini mendesak Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil memohon maaf kepada Presiden parti itu selepas didakwa cuba memburukkan imej dan integriti Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu ceramah, baru-baru ini.

Ketuanya, Muhammad Nizam Abd Lah Sani melihat tindakan Isham itu tidak lebih seperti musuh dalam selimut yang cuba merosakkan kerjasama parti komponen di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Buktinya adalah intipati ceramah beliau yang diviralkan di media sosial di mana beliau mengadu domba atau melaga-lagakan Bersatu dengan UMNO dengan cuba menghakis keyakinan hadirin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin membawa kemenangan dalam PN.

“Manusia apakah ini yang menghasut UMNO dan Bersatu untuk benci dan berbalah antara satu sama lain melalui hujah-hujah yang berasaskan fakta yang diseleweng?

“Justeru, kami menuntut supaya Isham Jalil memohon maaf kepada Perdana Menteri dan seterusnya kembali kepada landasan asal semangat kerjasama erat PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujud musuh dalam selimut yang mahu memecah-belahkan orang Melayu dan menggagalkan penyatuan ummah dalam PN.

Menurut Wan Saiful, musuh dalam selimut itu aktif menyebarkan pelbagai tohmahan termasuk terhadap Perdana Menteri.

Muhammad Nizam melihat tindakan Isham juga tidak ubah seperti suara pembangkang yang mana beliau didakwa mahu PN tewas dalam PRU15 disebabkan berbalah antara satu sama lain.

“Lebih baik isytihar masuk pembangkang daripada gagal berperanan sebagai Ketua Penerangan BN Selangor yang tidak menghayati roh perjuangan PN ke arah penyatuan dan perpaduan dalam kalangan parti komponen PN.

“Motif mereka yang khianat kepada semangat ukhuwah PN serta untuk pecah-belahkan kerjasama erat parti komponen parti wajar disiasat dan tindak-tanduk mereka perlu dibanteras segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.