Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin bercakap selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa satu pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad berlangsung hari ini.

Katanya pertemuan itu dibuat siang tadi namun tidak memperincikan tujuan pertemuan itu dibuat.

“Saya difahamkan ada pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya ketika ditemui di pejabat Presiden PKR, di Bukit Gasing.

Ditanya mengenai pertemuan itu, Shamsul Iskandar berkata beliau tidak tahu mengenai kandungan pertemuan itu.

“Saya tidak tahu. Kita dapat maklumat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar turut mengesahkan tiada apa-apa mesyuarat tergempar yang dijadualkan malam ini.

“Hari ini tidak ada mesyuarat apa. Kita buat kenyataan sahaja. Rakyat mahu kerajaan dan pimpinan baru.

“Kita tunggu esok, kita dapat maklumat seperti yang dikhabarkan Perdana Menteri akan meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Sepanjang hari ini pelbagai spekulasi timbul ekoran laporan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti di Parlimen.

Dalam pada itu, satu pertemuan di buat di sebuah hotel di ibu negara dihadiri beberapa ahli Parlimen termasuk Ismail Sabri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pertemuan antara Ismail Sabri dan Ahli-ahli Parlimen itu dikhabarkan bertujuan berunding mendapatkan tandatangan akuan bersumpah untuk menentukan calon Perdana Menteri. – MalaysiaGazette