Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad hadir untuk menjadi saksi di Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) bagi seorang wanita yang mendakwa dirinya ketua ajaran kepada Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dikenali sebagai Sittah Annur, 39 ketika di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Walaupun Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur telah melakukan pengisytiharan taubat tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memantau wanita itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, majlis pengisytiharan taubat yang dijalankan hari ini tidak akan membatalkan mana-mana seksyen di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 termasuk fatwa yang berkuatkuasa.

“Sudah semestinya (memantau) itu sebab saya sebut tadi dengan pengisytiharan ini tidak pernah membatalkan mana-mana seksyen yang berkenaan termasuk tidak membatalkan apa-apa fatwa berkuasa atau fatwa yang bakal berkuatkuasa.

“Kalau Masitah melakukan perkara yang sama walaupun telah isytihar taubat maka penguatkuasaan akan terus berkuatkuasa,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Taubat Masitah Ab Jalar di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Terdahulu Masitah membaca teks pengisytiharan taubat pada pukul 11.44 pagi sebelum mengucap dua kalimah syahadah dan menandatangani dokumen dengan disaksikan seramai empat orang saksi.

Keempat-empat saksi tersebut adalah, Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Dr. Anhar Upair; saksi kedua, Mohd. Shahzihan; saksi ketiga, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar dan saksi keempat, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Pendakwaan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Ansor Rullah Mohd Hassim.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada para pengikut Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang lain memerlukan majlis serupa untuk mengisytiharkan taubat, Mohd. Shahzihan berkata, ia bukan satu keperluan memandangkan Masitah telah menyeru kepada individu-individu berkenaan untuk kembali ke pangkal jalan.

“Pengikut tidak perlu (majlis) kerana tadi Masitah telah sebut dan menyeru kepada mana-mana yang berpegang kepada mimpinya untuk kembali ke pangkal jalan, bermakna kalau Masitah dah kembali maka yang lain kena kembali, kena buat sendiri (taubat) kepada Allah SWT. Ini (majlis) kita bantu kerana ia melibatkan pengisytiharan,” ujarnya.

Bagaimanapun jelas Mohd. Shahzihan, beliau tidak dapat memberikan angka tepat berkaitan jumlah pengikut yang didakwa mengikuti ajaran PMYT yang diketuai oleh Masitah sebelum ini.

“Kita tak tahu (berapa ramai), berdasarkan laman sosial adalah yang ikuti tetapi saya tidak berani untuk menyebut pengikut atau yang berminat dengan kenyataan itu. Kita bimbang berlaku pemahaman yang taksub, ini sangat bahaya kepada akidah termasuk bahaya kepada keselamatan negara, kemungkinan itu ada dan mereka perlu balik ke pangkal jalan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai majlis yang dianjurkan oleh JAIS itu, Mohd. Shahzihan berkata, ia diadakan berikutan persetujuan yang dicapai bersama Masitah setelah mengadakan pertemuan bersama-sama panel yang dilantik oleh JAIS pada 20 September lalu.

Kata beliau, setelah dijelaskan secara terperinci, Masitah didapati akur dan menginsafi kekhilafannya lalu bersetuju untuk melakukan istitabah.

“Secara prinsip kita mahukan semoga majlis ini menyedarkan mana-mana individu yang cenderung untuk berpegang atau meyakini kenyataan Masitah namun perlu diambil perhatian bahawa walaupun majlis istitabah ini dibuat kami di peringkat JAIS hanya menguruskan sesuai dengan kehendak hukum apabila melibatkan soal akidah.

“Kita mahu pihak yang terlibat juga menyedari keadaan ini dan akhirnya semua yang terlibat akan turut sama menyedari akan kekhilafan itu.

“Satu perkara yang hendak ditegaskan, semoga keikhlasan berlaku terhadap Masitah dan semoga diampuni Masitah dan pengikutnya.

“Perlu diingat bahawa majlis ini tidak membatalkan apa-apa peruntukan undang-undang mengenai soal-soal yang melibatkan akidah khususnya yang melibatkan Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu) dan Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu) termasuk tidak pernah membatalkan mana-mana fatwa yang telah dibuat dan akan difatwakan,” katanya.

Sebagai rekod, selain pengisytiharan taubat oleh Masitah yang mengetuai PMYT, antara individu lain yang pernah melafazkan taubat adalah Ummu Jah atau nama sebenarnya, Hatijah Aam bersama 300 pengikut kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan al-Arqam dalam satu majlis anjuran JAIS pada 9 November 2013.

Selain itu, Abdul Kahar yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ juga mengisytiharkan dirinya bertaubat serta turut menandatangani dokumen pengisytiharan taubat dalam satu majlis anjuran MAIS di Pusat Rawatan Islam Al-Manarah, Kuang pada 16 Mei 2016. – MalaysiaGazette