Jalan Raja Laut ditukar menjadi Jalan Palastin berkuatkuasa semalam.

KUALA LUMPUR – Jalan Raja Laut 1 di ibu kota kini diisytiharkan dengan nama baharu sebagai Jalan Palastin berkuatkuasa serta merta semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, penukaran nama jalan itu dibuat selepas mengambil kira sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palastin.

Kata DBKL, cadangan mewujudkan Jalan Palastin di ibu negara telah tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019.

“Dalam perhimpunan tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan telah memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Penamaan Jalan Palestin ini adalah sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” kata DBKL dalan kenyataan itu di laman web rasminya di Facebook.

Malah menurut PBT itu, proses mengenalpasti jalan sesuai untuk ditukar nama sebagai Jalan Palestin telah mengambil masa agak lama.

“Ini kerana ia perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur dtetapkan seperti penamaan jalan-jalan lain,” jelas DBKL lagi.

Nama baharu itu berkuatkuasa semalam dan dirasmikan oleh Datuk Bandar DBKL Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.-MalaysiaGazette