Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memperkenalkan ‘Luciano Figueroa Stand’ di kawasan tempat duduk Stadium Sultan Ibrahim.

Ia untuk mengenang jasa bekas pemain import skuad itu pada musim 2014-2016 yang kini merupakan pengurus pasukan iaitu Luciano Figueroa.

Perasmian ‘stand’ yang diabadikan dengan nama pemain itu telah disempurnakan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bersama Duta Besar Argentina ke Malaysia, H.E Manuel Balaguer Salas semalam.

Secara tidak langsung JDT merupakan satu-satunya pasukan Liga Malaysia yang telah mengabadikan nama pemain di stadium sepertimana amalan yang dilakukan oleh kelab dari seluruh dunia untuk mengenang jasa mereka.
Foto Facebook Johor Southern Tigers.

Malah, Figueroa juga merupakan antara nama besar dalam bola sepak kerana pernah beraksi dengan skuad Argentina bersama bintang terkemuka dunia seperti Carlos Tevez, Cambiasso, Juan Riquelme dan Pablo Aimar.

Dia menyertai JDT dari kelab gergasi Greece, Panathinaikos FC pada tahun 2014 dan kekal selama dua musim sebagai pemain. Sepanjang beraksi dengan skuad Harimau Selatan, Figuera telah menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan.

Sebelum dilantik menjadi Pengurus JDT pada bulan Ogos 2018, dia juga pernah berkhidmat sebagai Duta Kelab pada tahun 2017. – MalaysiaGazette