Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli yang juga Adun Kajang, Hee Loy Sian (tengah) bergambar kenangan bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (tiga kanan) serta yang lain pada Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di Jalang Mendaling, Kajang. Foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kajang bakal dihidupkan semula sebagai pusat bandar dengan pemetaan budaya dan promosi pelancongan yang pelbagai agar setanding tempat lain.

Ia bagi menarik lebih ramai pengunjung, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian.

Menurutnya, penjenamaan imej baharu bandar itu diharap akan setaraf dengan jenama Petaling Street, Kuala Lumpur, Georgetown, Pulau Pinang dan Jonker Walk di Melaka pada masa depan.

Beliau memberitahu, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan mengadakan lebih banyak acara pelancongan warisan tahunan sebagai tambahan kepada Pesta Mooncake dan pesta budaya tahunan.

“Kita melihat pentingnya memelihara dan melestarikan tradisi dan warisan kita di mana terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula dan meremajakan pusat bandar Kajang yang lama.

“Kita perlu menghidupkan kembali kehidupan dan aktiviti di kawasan ini bagi menjadi produk pelancongan warisan yang akan menarik pengunjung ke pusat bandar ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli yang juga Adun Kajang, Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di Jalang Mendaling, Kajang. Foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sambutan Pesta Warisan & Budaya Chap Goh Mei Kajang di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Mengulas lanjut, Loy Sian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli turut mengimbau latar belakang Kajang sebagai salah satu pusat perdagangan pertama di Selangor yang mempunyai sejarah lebih dari 120 tahun.

Kata beliau, di kawasan pusat bandar itu, terdapat sekitar 100 rumah kedai tradisional di Jalan Tengah, Jalan Tukang dan di tengah-tengahnya terdapat Jalan Mendaling yang terkenal.

“Dengan perubahan pesat dalam beberapa tahun ini, perdagangan tradisional semakin menghilang dan ramai penduduk yang telah lama menetap secara perlahan-lahan berpindah dari kawasan tersebut,” katanya.

Loy Sian mahu menonjolkan kepelbagaian kebudayaan yang diamal oleh masyarakat Cina di Kajang yang bukan sahaja untuk masyarakat itu.

“Tetapi juga untuk masyarakat majmuk yang mendiami kawasan dalam Kajang dan kawasan sekitarnya untuk berkumpul dan menghayati kebudayaan yang pelbagai tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli yang juga Adun Kajang, Hee Loy Sian (tengah) bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (empat kanan) serta yang lain menggaul ‘Yee Sang’ pada Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di Jalang Mendaling, Kajang. Foto HAZROL ZAINAL, 05 FEBRUARI 2023.