Jumlah mangsa banjir di Pahang telah meningkat kepada 32,682 orang daripada 8,659 keluarga sehingga pukul 4 petang tadi.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Meskipun Kampung Pandan 2 sudah dilanda banjir kilat, penduduk kampung itu masih sukar membuat keputusan sama ada berpindah ke pusat penempatan sementara atau tidak.

Kampung itu dilanda banjir kilat selepas Kuantan dilanda hujan lebat tanpa henti sejak dua hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Panching, Mohd Tarmizi Yahya berkata, berdasarkan pengalaman dahulu jika berlaku hujan seperti ini banjir kilat akan melanda dalam masa  satu hingga dua hari.

Ini kerana hujan lebat  tanpa sehenti itu  telah menyebabkan berlaku limpahan air di Sungai Pandan.

Fenomena banjir kilat ini adalah perkara biasa dihadapi oleh penduduk Kampung Pandan 2 atau dikenali sebagai Kampung Paip Gas.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati rata-rata penduduk tidak dapat memberi kata putus untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.

Walau bagaimanapun mereka akur sekiranya diarahkan berpindah jika keadaan tidak terkawal.

Berikutan itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Taman Tas dan sukarelawan Jabatan Amal Malysia Negeri Pahang sudah bersiap siaga untuk membantu para penduduk berpindah.

“Kita menyediakan Pusat Perpindahan Dewan Kampung Pandan 1 yang terdekat untuk persiapan mangsa banjir.

“Ada penduduk yang ingin segera dipindahkan, ada pula yang tidak mahu, tetapi saya berharap mereka dipindahkan sementara bantuan penyelamat ada,” katanya yang turut menasihati penduduk lebih berwaspada.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir di Kampung Pandan 2, di sini, hari ini.

Mohd Tarmizi berkata, bantuan makanan akan diberikan jika keadaan berlarutan dan penduduk terputus bekalan akibat penutupan jalan.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran waspada hujan lebat dijangka berlaku di sekitar Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, Rompin sehingga 24 Mac 2021. – MalaysiaGazette