Calon Pakatan Harapan bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini diumumkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Hai Kee, Pontian, hari ini.

Karmaine anak jati Tanjung Piai merupakan bekas guru di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai dan pernah berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1980 hingga 2000.

Beliau pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tapi tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hadir sama pada majlis pengumuman calon itu kepimpinan utama Bersatu antaranya, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun; dan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah merupakan PRK kesembilan selepas PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei lalu, PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos tahun lalu, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018), Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lalu, akibat mengalami komplikasi jantung. -MalaysiaGazette