Sanusi Md Noor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah mempunyai pilihan syarikat untuk cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menarik diri daripada projek tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, masih ada lagi syarikat lain yang berkemampuan telah menghantar kertas cadangan pembangunan KXP kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memanggil KXP Airport City untuk memberikan taklimat tentang sejauh mana urusan dengan syarikat Syed Mokhtar itu mengenai projek berkenaan.

“Kalau dia (Syed Mokhtar) terpaksa menolak, silalah menolak, saya tak ada masalah dengan dia, mungkin dia boleh terlibat dengan projek lain, kalau dia menolak, kita akan buat penilaian baharu (terhadap syarikat lain).

“Kita akan tengok keputusan muktamad Kumpulan Albukhary berdasarkan jawapannya nanti,” katanya demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Sanusi berkata, kerajaan negeri memberi tawaran kepada dua syarikat termasuk syarikat Syed Mokhtar untuk kerjasama (JV) bagi pembangunan projek KXP dan syarikat satu lagi itu yang mempunyai kepakaran kargo telah pun memberikan maklum balas bersedia dengan kerjasama itu.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 12 rumah baharu dibina pihak kerajaan negeri untuk mangsa banjir akibat kepala air di Kampung Iboi dekat Baling, tahun lepas, dijangkakan siap sebelum 27 April depan.

“Peserta telah membuat cabutan undi rumah yang akan diberikan kepada mereka,” katanya yang turut memaklumkan lapan lagi rumah baharu telah siap dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk mangsa kepala air itu.

Persidangan DUN Kedah bersambung esok. – Bernama