Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Kelantan telah mengaktifkan lima pusat kawalan operasi banjir (PKOB) membabitkan Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh bagi mengkoordinasikan pengurusan banjir negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, hal ini berikutan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh negeri itu hingga 21 Disember depan.

“Rakyat Kelantan diminta tidak mengambil mudah setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama melibatkan arahan untuk berpindah ketika musim banjir.

“Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu maghrib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, beliau turut mengarahkan wakil rakyat bersama-sama ketua jajahan dan pegawai terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna mengenai keselamatan dan kebajikan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri dan jajahan masing-masing.

“Saya minta rakyat Kelantan juga sentiasa peka kepada perkembangan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga menyeru seluruh rakyat supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda banjir besar,” katanya. – Bernama