Nga Kor Ming menyampaikan ucaptama di High Level Interactive Strategic Dialogue on Special Theme of the 2nd Session of the UN-Habitat Assemblys di Nairobi.

NAIROBI- Presiden Kenya menyatakan minat dan hasrat kepada Malaysia untuk untuk bekerjasama, mempelajari dan mendapatkan khidmat kepakaran Malaysia dalam aspek penyediaan perumahan mampu milik negara.

Hasrat itu dinyatakan Dr William Samoei Ruto kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu pertemuan tertutup sempena Persidangan United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) 2023 yang berlangsung di Nairobi dari 5 hingga 9 Jun 2023.

Presiden Kenya yang merupakan tuan rumah Persidangan UN-Habitat 2023 turut menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara gateway kepada negara-negara di rantau ASEAN.

Minat dan hasrat Presiden Kenya itu sambut baik oleh Kor Ming dengan menyatakaan kesediaan untuk bekerjasama dan berkongsi kepakaran, latihan serta amalan terbaik dengan mana-mana negara termasuk Kenya khususnya berkaitan inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam membangunkan sektor perumahan di negara ini.

Bersempena dengan persidangan tersebut, Kor Ming turut menghadiri 10 sesi bilateral bersama rakan-rakan sejawat dan pegawai-pegawai tertinggi daripada pelbagai negara seperti China, Columbia, Bahrain, Filipina, Palestin, Qatar, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Antara perkara perbincangan adalah berkaitan agenda pembangunan mampan termasuk pelaksanaan inisiatif bandar pintar, pengurusan sisa pepejal serta peningkatan kerjasama antara negara.

“Kesemua sesi bilateral ini merupakan jalinan kerjasama yang sangat penting bagi Malaysia dalam meletakkan negara di persada antarabangsa. Perumahan mampu milik seperti yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah menjadi antara tarikan kepada dialog dan persidangan pada kali ini.

“Dasar dan program perumahan mampu milik negara menjadi antara model dan rujukan bagi negara-negara membangun dalam penyediaan rumah mampu milik termasuk dari aspek pembiayaan dan pembinaan rumah,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada sesi tersebut Malaysia telah mendapat respons yang begitu positif dan dijemput untuk menyertai pelbagai acara peringkat dunia bagi berkongsi amalan terbaik Kerajaan Malaysia dalam sektor perumahan, pengurusan sisa pepejal dan agenda pembangunan mampan.

Kor Ming yang mengetuai delegasi Malaysia turut dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam High Level Interactive Strategic Dialogue on Special Theme of the 2nd Session of the UN-Habitat Assembly dan Program Sampingan negara Republik China bertajuk Towards a Multilateral Collaboration and Knowledge Exchange System to Accelerate SDGs Implementation in Cities pada pagi tadi.

Turut hadir pada persidangan tersebut adalah Duta Malaysia ke Nairobi, Ruzaimee Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, pegawai-pegawai kanan
kementerian dan PR1MA. – MalaysiaGazette