The RTK-Antigen Covid-19 Self-Test Kit at SP Farmasi in Rawang. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 08 AUGUST 2021. retail price wholesale price KPDNHEP
Kit ujian pantas (RTK) antigen kendiri . - Gambar hiasan

LABUAN – Labuan berdepan kekurangan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 yang menggunakan sampel air liur berikutan permintaan yang meningkat dengan mendadak sejak dua minggu lepas, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Junaidah Arbain.

Beliau berkata, permintaan yang tinggi itu disebabkan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan membuat ujian kendiri terutamanya sebaik tiba ke Labuan dan pihaknya sedang memantau situasi itu.

“Pasukan penguat kuasa melakukan lawatan ke farmasi-farmasi dan menerima maklum balas mengenai ketersediaan kit ujian itu di rak mereka,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Junaidah berkata, pelanggan di pulau bebas cukai ini masih bergantung kepada bekalan dari Sabah dan Semenanjung serta kebanyakan pengimport mengimportnya secara pukal.

“Bekalan kit ujian kendiri itu mengambil masa lebih lama untuk tiba di Labuan dan stok semakin cepat habis berbanding sebelum ini, kami harap situasi akan kembali normal beberapa hari lagi dan farmasi tidak menaikkan harga kit ujian ini dengan sewenang-wenangnya untuk mendapatkan keuntungan cepat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa pengusaha kedai memohon permit untuk menjual kit ujian kendiri menggunakan sampel air liur dan pertimbangan sedang dilakukan pihaknya.

“Kementerian masih mengekalkan harga siling sebanyak RM19.50 satu kit di Labuan tetapi tidak menghalang farmasi atau pengusaha kedai menjualnya pada harga berpatutan,” katanya. – Bernama