Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat buku Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD yang disampaikan Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Yoshiki Takeuchi (kanan) sambil diperhatikan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin (kiri) selepas pelancaran Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD peringkat Asia di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjadi agensi pertama akan melantik wakil dari Sabah dan Sarawak bagi mendapat persetujuan dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul itu sebagai menghormati Sabah dan Sarawak atas semangat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).

Katanya, ia akan dilaksana menerusi Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

“Selama ini ada sembilan ahli lembaga dipengerusikan Ketua Setiausaha Pembendaharaan tapi selepas usul ini diluluskan maka jumlahnya menjadi 11 orang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menerusi usul itu, sebarang pelantikan dan pemberhentian Ahli Lembaga Pengarah LHDN perlu dirujuk serta mendapat persetujuan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Saya yakin usul ini tidak berdepan masalah apabila dibentangkan nanti kerana LHDN terletak di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini, Menteri Kewangan mempunyai kuasa penuh melantik sesiapa yang difikirkan sesuai tapi kali ini kuasa itu dihadkan dengan rujukan kepada ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam pelantikan dua ahli lembaga LHDN ini.

“Ini adalah kali pertama sebuah agensi yang besar melakukan pindaan untuk memastikan ada wakil dari Sabah Sarawak. Adakah akan berlaku kepada badan berkanun dan agensi yang lain? Itu kita perlu tunggu dan lihat,” ujarnya.

Ahmad menambah, pelantikan dua wakil itu semestinya dalam kalangan mereka yang berpengetahuan dalam isu ekonomi, percukaian dan undang-undang.

Terdahulu, RUU LHDN Pindaan 2023 bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Jun lalu ditangguh ke persidangan akan datang selepas ahli-ahli Parlimen berbahas mencadang RUU itu dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.

Sementara itu, Ahmad memberitahu, kerajaan sedang mempertimbang untuk menubuhkan anak syarikat kawal selia Bursa Malaysia (RegSub) bagi meningkatkan tadbir urus pasaran saham negara.

Jelasnya, penubuhan berkenaan sejajar dengan prinsip G20/Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang disemak semula dalam memenuhi beberapa keperluan termasuk melindungi konflik kepentingan. – MalaysiaGazette