Lion Air
Pesawat Lion Air

JAKARTA- Syarikat penerbangan Lion Air sedang mengkaji semula, malah tidak mustahil untuk membatalkan tempahan pesawat daripada Boeing Co susulan insiden pesawat 737 MAX yang mengorbankan 189 nyawa akhir Oktober lalu.

Menurut sumber, pengasas bersama syarikat penerbangan itu, Rusdi Kirana sangat marah dengan sikap Boeing yang dikatakan cuba mengalih perhatian daripada perubahan rekaan pesawat dan menyalahkan Lion Air di atas insiden berkenaan.

Lion Air juga berdepan siasatan ke atas rekod penyelenggaraan dan sikap juruterbangnya semasa kemalangan tersebut.

Kirana sedang mengkaji kemungkinan untuk membatalkan tempahan pesawat Boeing “daripada penyerahan seterusnya”, kata seorang sumber yang rapat dengan Kirana.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan syarikat berkenaan turut berkata, Lion Air memang mahu membatalkan tempahan.

Kirana, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lion Air kini berkhidmat sebagai Duta Indonesia ke Malaysia masih terlibat secara langsung dengan operasi syarikat.

Menurut sumber syarikat dan industri, beliau masih mengadakan mesyuarat bulanan di Kuala Lumpur bersama dengan ketua-ketua syarikat penerbangan kumpulan yang berpangkalan di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Masih belum ada keputusan muktamad diambil oleh Lion Air namun perbincangan mengenai nasib baki tempahan bernilai AS$22 bilion masih menjadi perbincangan utama.

Pesawat berkenaan mula berkhidmat sejak tahun lepas.

Lion Air sedang menanti penyerahan 190 buah pesawat Boeing yang bernilai AS$22 bilion manakala 197 buah lagi telah diterima, sekaligus menjadikannya pelanggan eksport paling besar Amerika Syarikat.

Sebarang permintaan untuk pembatalan bakal memberi tekanan kepada Boeing dan mungkin memerlukan rundingan yang lama.

Banyak syarikat penerbangan menangguhkan tempahan namun sumber industri berkata, pembekal aeroangkasa jarang membenarkan pembatalan unilateral.

Lion Air enggan memberi komen dan masih belum jelas berapa banyak pegangan syarikat penerbangan tersebut yang dimiliki oleh Kirana.- MalaysiaGazette