Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan menghubungi Jabatan Peguam Negara bagi memperinci dan mengemaskini laporan berkenaan pencemaran sungai di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Datuk Salim Soib; Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Datuk Ir Hashim Osman dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nor Aziah Jaafar pada pagi tadi untuk membincangkan perkembangan semasa tentang beberapa laporan terkini mengenai insiden berkenaan.

Beliau turut berharap tindakan tegas dapat diambil dengan segera untuk menyelesaikan masalah itu.

Dalam masa yang sama katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan  Selangor juga  penting demi memastikan bekalan air negeri terjamin.

Semalam Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menafikan dakwaan Amirudin yang mengatakan bahawa tiada tindakan diambil oleh pihak berkenaan selepas kerajaan negeri selesai menyiasat kes pencemaran air pada April lalu.

Jelas Idrus, sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor. – MalaysiaGazette