Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan sebanyak 850 permit perniagaan sementara kepada golongan yang terkesan akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan berkata, langkah tersebut membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan mereka.

“Namun kita tekankan kepada penerima lesen sementara supaya mematuhi syarat ditetapkan. Antaranya tapak perniagaan tidak menimbulkan gangguan, menjaga kebersihan dan kesihatan serta keselamatan.

“Justeru kita berharap penerima lesen memanfaat peluang diberi dengan berniaga mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong dekat sini semalam.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Sze Han  berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja yang berniaga di tempat selamat pada 19 Ogos lalu.

“Langkah itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette