Allex Seah Choo Chin

MELAKA – Sebanyak 1.961 juta peket satu kilogram minyak masak bersubsidi diagihkan untuk keperluan kira-kira sejuta rakyat di negeri ini setiap bulan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Choo Chin berkata, kuota itu diagihkan di bawah program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS).

Jumlah itu, menurut beliau, sepatutnya mencukupi untuk keperluan isi rumah masyarakat B40 di Melaka.

“Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kuota agihan minyak masak peket 1 kilogram (kg) di bawah ECOSS Melaka adalah 1,961 tan metrik sebulan.

“Kalau darab setahun ada 23 juta tan metrik yang sepatutnya memenuhi keperluan isi rumah di Melaka kerana minyak peket bersubsisi ini hanya digunakan pengguna isi rumah,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning) mengenai jumlah kuota agihan minyak masak peket di Melaka setiap bulan kerana masih sukar didapati sehingga kini pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini, hari ini.

Allex (PH-Kesidang) berkata, sepatutnya minyak peket tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial sebagai mana yang berlaku ketika ini.

“Buat masa ini kita tahu ramai pengguna komersial beli, tapi kita tak buat halangan terus terang.

“Cuma sepatutnya Melaka yang ada satu juta penduduk, kuota minyak masak 1,961,000 peket itu mencukupi untuk rakyat B40,” katanya. – MalaysiaGazette