Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bukan sahaja memperlekehkan Timbalan-Timbalan Pendakwaraya dalam buku My Story: Justice in the Wilderness malah beliau turut memperlekehkan keseluruhan jabatan yang diterajuinya suatu ketika dahulu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang ditulis oleh Tommy itu boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara.
“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji dihujung bulan dan faedah pencen adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutamanya apabila ia datang dari Ketua Jabatan di jabatan tersebut iaitu sebagai Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, menurut Ahmad Zahid, tindakan dan perlakuan bekas Peguam Negara ini menulis di dalam buku beliau jelas bertentangan dan melanggar sumpah jawatan sebagai Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa walaupun jawatan tersebut tidak lagi disandangnya.
Tambah beliau, adalah menjadi teras utama di dalam jabatan-jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperolehi oleh mana-mana pegawai adalah diklasifikasikan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia” atau “Sulit”, tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan “pelaris” kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta-fakta.
Sementara itu Ahmad Zahid, menggambarkan Tommy sebagai seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya.
Ujarnya, memoir tersebut juga menyentuh berkenaan keputusan yang dibuat oleh Tommy ketika menjadi Peguam Negara, antaranya termasuklah kes LTTE dan kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Keputusannya dalam kes LTTE, hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa LTTE sudah tidak aktif dari tahun 2009. LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun Keseksaan,” katanya.
Selain itu, menurut Ahmad zahid, keputusan Tommy untuk tidak menuduh sesiapa di dalam kes Muhammad Adib juga telah didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib disebabkan oleh dua orang atau lebih. – MalaysiaGazette