Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya ketika bercakap pada sesi bual bicara mengenai Kerjasama UMNO dan Pas di Majlis Profesor Negara Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Senada dengan ahli panel, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya juga mengharapkan Muafakat Nasional (MN) 2.0 menjadi kenyataan.

Katanya, sekarang ini cahaya perdamaian ke arah itu sudah nampak dan menjadi harapan besar ahli dan rakyat agar ia tercapai.

“Tentunya apa yang saya harapkan MN 2.0 mesti berlaku. Itu yang saya amat harapkan. Bukan sahaja saya selaku ahli UMNO, rakyat di luar sana juga mengharapkan sedemikian.

“Kita harap ianya ada toleransi, berlapang dada, keluasan fikiran, berbincang dengan baik sesama pimpinan, bukan untuk win-win kepentingan orang tertentu, tetapi untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Kerjasama UMNO dan Pas: Apa Potensinya? Anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sini, hari ini.

Menurut Fathul Bari, penyatuan antara Pas dengan UMNO bermula di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan bersambung pada era Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga termeterai MN 1.0 tahun 2019.

Katanya, ketika itu, satu perhimpunan besar-besar yang menghimpunkan ahli kedua parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sehingga kesemua yang hadir mengalirkan air mata tanda terharu dan bersyukur.

“MN ini adalah perkara yang berkaitan dengan penyatuan dan perpaduan ummah yang perlu disemak semula oleh kepimpinan parti masing-masing.

“Sebagai MKT, sudah tentu saya bercakap atas nama UMNO tetapi pada masa sama saya juga bercakap atas tiket saya sebagai rakyat Malaysia yang ingin dan cintakan kepada perpaduan seumpama ini,” katanya.

Menjawab soalan seorang peserta, Dr. Fathul Bari berkata, untuk masa depan politik, perlu ada transformasi dan reform cara berfikir terutama dari perspektif penampilan personaliti baharu.

Beliau memberi contoh, UMNO adalah yang paling berstruktur dalam negara dan mempunyai puluhan ribu cawangan.

“Bukan senang untuk pimpinan parti buat transformasi iaitu penampilan personaliti dari sudut kependidikannya, cara bekerja, memahami politik tanah air dan kawasan perlu ditampilkan, di samping mengambil kira orang lama yang berpengalaman dalam menguruskan proses ini dari dulu sampai sekarang.

“Semua ini kena ambil kira, yang lama kena bimbing yang baru yang boleh membawa agenda lebih segar untuk kepentingan, kestabilan dan kesejahteraan negara di masa depan.

“Dalam politik, untuk mencapai kesejahteraan ialah kestabilan. Kita nak bawa politik yang aman, matang, yang baharu dengan matlamatnya adalah kestabilan,” katanya lagi.

Beliau berkata, apabila negara stabil, kepimpinan boleh berwacana soal ekonomi, perkasakan sistem pendidikan, merancakkan ekonomi untuk dirasai golongan di bawah.

Katanya, apabila kerajaan stabil juga, hubungan antara kaum tidak tegang, isu agama tidak dimainkan sehingga menimbulkan sensitiviti dan pelabur asing akan datang ke negara untuk melabur.

“Hendak stabil itu bagaimana? Tentunya kaum dan kabilah yang dominan dalam negara perlu bersama dahulu. Bukan bermakna menafikan perpaduan dan kerjasama dengan kaum lain.

“Sebab itu Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) datang dengan tema Keluarga Malaysia. Beliau hendak menggambarkan kesepakatan, kemuafakatan dan harapan kita ialah menggerakkan MN,” katanya. – MalaysiaGazette