Abdul Wahid Omar
KUALA LUMPUR – Datuk Mohaiyani Shamsuddin yang dilantik sebagai pengerusi baharu Maybank bukan asing kepada industri perkhidmatan kewangan negara.Pelantikan beliau berkuatkuasa 1 April ini.

Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yakin Mohaiyani dapat memimpin Lembaga Pengarah dan pengurusan Maybank merealisasikan visi peneraju perkhidmatan kewangan serantau.

“Pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu Maybank sangat bertepatan. Mohaiyani adalah tidak asing kepada industri perkhidmatan kewangan kerana beliau telah diasaskan Mohaiyani Securities pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi BSKL dan Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia.

“Beliau juga pernah berkhidmat di dalam Lembaga Pengarah Maybank dan Pengerusi Maybank Investment Bank. Memandangkan pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan kewangan dan menjadi ahli ‘keluarga’ Maybank, saya percaya Mohaiyani akan dapat memimpin Kumpulan Maybank merealisasikan visi sebagai peneraju perkhidmatan kewangan serantau,” katanya.

Abdul Wahid juga merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Megat Zaharuddin yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang  sebagai Pengerusi Maybank. – MalaysiaGazette