Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan bahawa beliau akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Negeri Sembilan.

Menjawab pertanyaan media, Menteri Pertahanan itu secara berseloroh berkata, sekiranya wartawan mahu beliau kekal di Rantau, maka dia akan bertanding di kawasan tersebut.

“Apa pendapat wartawan, nak saya bertanding atau tidak? Perlu kalau begitu saya isytiharkan akan bertanding di DUN Rantau,” katanya sambil ketawa.

Mohamad mempertahan kerusi itu pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau yang diadakan pada April 2019 lalu dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram, 60, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51, dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 10,397 undi, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

Mohamad merupakan penyandang kerusi DUN Rantau sejak tahun 2004.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, gabungan Kerajaan Perpaduan yakin dapat merampas Kedah dan Terengganu.

“Peluang untuk menang di Kedah dan Terengganu tu ada dan di Kelantan ini kita rasa kita boleh menambah kerusi,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini optimis bahawa gabungan tersebut akan dapat memenangi dua negeri sempena PRN di enam negeri.

Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan dua negeri tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mat Hasan ni dah jadi MP dah jadi MENTERI dah jadi Timbalan President UMNO dan pelbagai lagi… nak TAMAK sangat kerusi DUN tu apa kejadahnya? Bagi la orang lain CARI MAKAN.. atau banyak sangat masa relek hingga tidak fikir untuk REZEKI kawan lain.. Contohi ZAHID HAMIDI dia BERSIH dan amat JUJUR tidak TAMAK hanya menang MP je..

Comments are closed.