Salah satu tarikan di Movie Animation Park Studios, di Ipoh.

IPOH – Taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini tidak akan ditutup walaupun gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak Corporation Berhad (PCB) dan anak syarikatnya Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) akan berbincang dengan pihak bank berhubung perkara itu.

“Pihak bank perlu memahami bahawa perniagaan perlu diteruskan untuk mendapatkan kembali wang itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Theedgemarkets melaporkan Affin Investment pada 4 Dis melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah ATP yang juga pengendali MAPS.

Sehubungan itu, pengurusan ATP digantung serta merta dengan semua urusan berkaitan kewangan dan operasi diletakkan di bawah tanggungjawab penerima dan pengurus hartanah iaitu Duar Tuan Kiat.

Ahmad Faizal berkata Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah mengambil pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah dihadapi MAPS termasuk mengurangkan jumlah pekerja taman tema itu.

“Mereka telah membangunkan MAPS dengan hutang yang begitu besar membabitkan nilai ratusan juta Ringgit. Lebih setahun kita cuba untuk menyelamatkan MAPS ini.

“Dan hari ini kita berjaya mengurangkan overhead dan (menjana) revenue dan berjaya membayar gaji pekerja. Bagaimanapun, sejak dua bulan lepas, kami tidak mampu membayar RM21 juta menyebabkan ‘default payment’ sehingga pihak bank mengambil tindakan,” katanya.

MAPS yang dibina dengan kos RM520 juta dibuka secara rasmi pada Jun 2017. – MalaysiaGazette